Sekapur Sireh

Rumah Bakti Nursyaheera

Kita selalu mendengar tentang anak yatim, yatim piatu serta anak-anak miskin tetapi kita tidak dapat memahami secara terus atau mengkaji akan maksud tersirat dari perkataan-perkataan itu. Anak yatim didefinasikan sebagai anak yang kematian ibu atau bapanya yang berumur 1 hari sehingga 16 tahun sahaja. Ini bermaksud yang kematian salah seorang daripada ibu atau bapanya. Dan yatim piatu pula, adalah anak yang kematian kedua-dua ibubapanya.  Ini bermaksud yang yatim piatu tiada tempat bergantung melainkan ada waris atau saudara terdekat yang membantu dan menjaga mereka. Ini kerana di negara kita, Malaysia, tahap umur ini telah ditetapkan oleh bidang syarie.  Tahap umur ini penting kerana ianya melibatkan pelbagai perkara yang berbangkit dengan taraf anak yatim ini.  Di antara perkara yang terbabit ialah di mana harta anak yatim ini tidak wajib dikeluarkan zakat mengikut hukum.  Selepas umur 16 tahun ini, anak-anak ini tidak disebut anak yatim lagi, ketogori mereka ini mungkin diklasifikasikan sebagai anak miskin (sekiranya ia tergolong dari kategori miskin).

Orang miskin pula boleh didefinasikan dimana terjadi kekurangan hal-hal yang biasa untuk dimiliki seperti makanan, pakaian, tempat berlindung dan makan-minum serta hal-hal yang berhubungan erat dengan kualiti hidup. Kemiskinan kadang-kala diertikan dengan  kekurangan terhadap pendidikan dan pekerjaan yang mampu mengatasi masalah kemiskinan itu sendiri.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam mengenali, menjaga dan membesarkan anak-anak yatim ini.  Dalam Al-Quran, perkataan anak yatim ini disebut puluhan kali.  Di antara ayat-ayat dalam Al Quran, Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Maaun, ayat 1 hingga 3 bermaksud “Tahukah kamu orang yang menidakkan agamanya. Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan orang yang tidak menganjur yakni memberi  makan kepada orang miskin”

Allah S.W.T berfirman, dalam surah Ar-Ra’d, ayat 22 yang bermaksud “Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan. Orang-orang itulah yang mendapat kesudahan yang baik.”

Dalam ayat ayat ini, Allah S.W.T. mengingatkan kepada hambanya akan pentingnya anak-anak yatim dan orang-orang miskin ini disisi agama.  Ayat-ayat ini memberi peringatan kepada kita untuk menyayangi anak-anak yatim dan membantu orang-orang miskin. Saya selalu berpesan kepada kawan-kawan, sayangi anak-anak yatim dan jangan menganiaya mereka dan jangan sesekali membenci mereka. Kita harus faham yang doa anak-anak yatim ini, INSYAALLAH, akan terus sampai ke hadrat Illahi.

Ibnu Majah meriwayatkan berkata: Rasullullah S.A.W. bersabda “Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang terdapat didalamnya anak yatim yang diperlakukan (diasuh) dengan baik, dan seburuk-buruk rumah kaum muslimin ialah rumah yang didalamnya terdapat anak yatim tapi anak itu diperlakukan dengan buruk.”

Abu Hurairah R.A berkata: Rasullullah S.A.W.  bersabda: “ pengasuh anak-anak  yatim baik anaknya sendiri atau anak orang lain, denganku di syurga seperti ini sambil menunjukkan dua jari telunjuk dan jari tengah.”

Ath-Thabrani  berkata: Rasullullah S.A.W. bersabda: “Demi yang mengutus aku dengan hak,  Allah tidak akan menyiksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya, dan tidak bersikap angkuh dengan apa yang Allah anugerahkan kepadanya terhadap jirannya.  Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menerima sedekah seorang yang mempunyai kerabat keluarga yang memerlukan bantuannya sedang sedekah itu diberikan kepada orang lain. Demi yang jiwaku dalam genggamanNya, ketahuilah, Allah tidak akan memandangnya (memperhatikannya) kelak pada hari kiamat.)”

Begitu tinggi taraf anak-anak yatim ini disisi agama kita.  Bagi saya, golongan anak-anak yatim ini adalah satu golongan terpilih.  Sejarah kehidupan Rasullulluh, Beliau juga tergolong dari golongan anak yatim.

Terdapat ratusan ribu anak-anak yatim di negara kita dan dianggarkan lebih 40 ribu anak-anak yatim ini memerlukan bantuan serta kehidupan yang lebih sempurna.  Terdapat ratusan rumah anak-anak yatim di seluruh Malaysia. Ada yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ada yang tidak.  Ada yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan ada yang tidak.  Jumlah sebenar rumah anak-anak yatim ini tidak dapat dianggarkan dengan tepat. Di dalam negara kita, satu-satunya pertubuhan yang menghimpun rumah anak-anak yatim ini secara berkelompok adalah PEYATIM.  Dan di PEYATIM sendiri, hanya lebih kurang 60-70 rumah anak yatim sahaja dari seluruh Malaysia yang berdaftar. Rumah anak-anak yatim yang lainnya tidak mendaftar atas sebab-sebab tersendiri.

Tadi, saya ada katakan yang jumlah anak yatim di Malaysia mencapai angka ratusan ribu, mungkin 400 ribu orang dan dari jumlah itu, 10 peratus sahaja iaitu lebih kurang 40 ribu orang yang menghadapi kesukaran dalam meneruskan kehidupan mereka. Jumlah ini boleh kita kira dengan congak yang senang. Di negara kita pada hari ini, jumlah kemalangan maut jalanraya adalah seramai purata 18 orang  sehari (perangkaan PDRM), anggaran setahun adalah seramai 6,570 orang.  Jika setiap yang maut di jalanraya ini merupakan ketua keluarga yang mempunyai 3 orang anak, maka jumlah anak yatim yang di tinggalkan adalah seramai 19,710 orang.  Jumlah ini adalah untuk setahun, dan bagaimana untuk tempuh 10 tahun. Ianya akan jadi 197,100 orang. Jumlah ini hanya dari satu sumber sahaja, tidak termasuk kematian di hospital hospital sebabkan sakit, sakit tua, mati dibunuh, bunuh diri, kemalangan tempat kerja,  dan kematian yang pelbagai lagi. Jika kita dapat angka kematian keseluruhan yang tepat untuk setahun, mungkin kita akan dapat mengira berapa jumlah anak yatim di negara kita.  Pihak sekolah mungkin dapat  mengira jumlah anak yatim di sekolah masing-masing, tetapi angka sebenar adalah jauh lebih tinggi kerana ada anak yatim yang belum bersekolah kerana masih di bawah umur 7 tahun dan mungkin ada yang tidak bersekolah langsung. Berbalik kepada jumlah anak yatim yang kematian ketua keluarga di sebabkan kemalangan jalanraya tadi, kebanyakan anak-anak yatim ini adalah dari golongan orang miskin ataupun dari keluarga yang berpendapatan rendah kerana peratus tertinggi kemalangan maut di jalanraya adalah dari penunggang motorsikal.

Jumlah bagi orang miskin pula, saya tak dapat angka yang tepat tetapi di dalam sebuah akhbar Utusan Malaysia pada 23 ogos 2009, satu projek yang dinamakan Projek Cari Bantu yang dilancarkan dua tahun lalu berjaya mengesan sebanyak 286,126 golongan miskin yang layak menerima bantuan setakat Ogos tahun 2009. Angka ini mungkin berkurangan sehingga hari ini dan mungkin sebaliknya.

Sama ada anak yatim ataupun orang miskin, jumlah yang ada adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk membantu mereka. Berkongsi kesempitan hidup mereka serta meringankan beban yang mereka tanggung dengan apa jua cara yang kita mampu, walaupun hanya dengan doa sekalipun.

Selaku pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur yang menaungi RUMAH BAKTI NUR SYAHEERA, saya amat berharap agar semua rakyat Malaysia bangun membantu rumah-rumah anak yatim di negara kita.  Sumbangan dari penderma-penderma yang budiman amat kami alu-alukan.  Semoga Allah S.W.T memberi rahmat dan keberkatannya kepada tuan-tuan dan puan-puan yang membantu kami. Amin.

Wabillahhitaufik. Wassalam.

———————————–

Johari Hj Basri
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera
Kuala Lumpur

Hubungi Kami

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai RBNS, hantarkan mesej kepada kami. Pihak kami akan menghubungi anda semula.

11 + 6 =