Seulas Pinang

Ramai orang bertanya kepada saya bagaimana saya dapat menghimpun anak-anak yatim di rumah anak yatim saya. Dan ada juga yang bertanya bagaimana saya boleh menceburkan diri di dalam bidang ini.  Ada juga yang bertanya bagaimana kehidupan anak-anak ini,  dari mana sumber kewangan yang diperolehi, sampai bila anak-anak yatim miskin itu diberi perlindungan, aktiviti yang dijalankan dan pelbagai soalan yang diajukan kepada saya.  Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam mentadbir rumah-rumah anak yatim dibawah kelolaan saya. Mungkin pengalaman saya ini dapat memberi sedikit panduan kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk membuka rumah anak yatim.

Pertamanya, saya ingin menjawab soalan yang selalu ditanyakan kepada saya iaitu bagaimana saya boleh menceburkan diri dalam bidang ini. Sebenarnya saya datang dari keluarga yang serba kekurangan.  Ini menjadi asas kepada saya untuk membantu kepada golongan yang memerlukan.  Saya dapat merasakan bagaimana rasanya jika kita dalam kesempitan.  Pada mulanya, dahulu saya hanya menolong seorang kawan yang meminta pertolongan untuk mencari dana untuk rumah anak yatim yang dikelolakannya.  Pada masa itulah saya mengenali apa itu rumah anak yatim. Oleh kerana susahnya rumah anak yatim itu, saya sendiri belajar meminta derma dari orang ramai di sekitar Kuala Lumpur.  Dengan memegang kupon RM1, RM2, RM5 dan RM10, saya meniti jalan di Kuala Lumpur dari satu kedai makan ke satu kedai makan.  Selalunya saya berjalan dari Kg. Baru menuju ke Bangsar.  Sepuluh tahun lepas, cara ini cukup popular.  Mungkin ramai orang Kuala Lumpur mengenali saya ketika itu.  Dari situlah saya mendapat diploma dan ijazah jalanan.  Orang ramai memberi pandangan dan cara bagaimana untuk saya menjalankan kutipan derma dengan cara lebih berkesan. Dari satu cara ke satu cara yang lebih efektif. Saya menerima pandangan yang bernas dari orangramai dan saya mencuba satu persatu  dan sehingga hari ini, saya masih belajar.  Tidak keterlaluan jika saya katakan, saya mendapat ilmu dalam mencari dana untuk rumah anak yatim hanya di tepi jalan dan guru-guru saya yang mengajar saya begitu ramai dan saya pun tidak mengenali mereka dengan begitu dekat kerana mereka datang dan pergi begitu cepat.

Dengan pengalaman yang saya miliki, saya semakin dekat dengan rumah anak yatim dan mengenali mereka dengan lebih dekat.  Dari situlah saya mencintai anak-anak yatim.  Pada tahun 2007, saya dan kawan-kawan saya mendirikan sebuah rumah anak yatim kami sendiri di Pengkalan Hulu, Perak yang di kenali dengan nama Rumah Anak Yatim & Miskin At-Taqwa Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzuan.  Rumah ini adalah dibawah naungan Pertubuhan At-Taqwa Pengkalan Hulu. Dalam pertubuhan ini, saya memegang jawatan Timbalan Pengerusi.  Saya membuka langkah saya sendiri dengan membuka sebuah rumah lagi di Cheras iaitu Rumah Bakti Nur Syaheera.  Rumah bakti ini adalah di bawah naungan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur  dimana didalam pertubuhan ini, saya memegang jawatan sebagai Pengerusi bersama isteri saya yang memberi sokongan padu kepada saya.

Bagaimana cara saya dapat kumpulkan anak-anak yatim ini?  Banyak cara untuk kita buat untuk mengumpulkan anak anak yatim ini.  Salah satu cara yang paling mudah adalah dengan cara mengedarkan borang kemasukan di kawasan setinggan dan perumahan PPR.   Satu cara lagi adalah dengan mengedarkan borang kemasukan di surau-surau dan masjid-masjid. Cara yang lain pula dengan cara berkomunikasi dengan pihak PPD atau pihak sekolah bagi mendapatkan jumlah anak-anak yatim di sesuatu kawasan. Setiap permohonan perlu di saring terlebih dahulu. Selepas saringan pertama, satu lawatan ke rumah perlu dilakukan bagi memastikan yang anak-anak ini betul-betul layak menduduki rumah anak-anak yatim ini.

Di rumah anak-anak yatim saya, anak-anak yang mendiami rumah ini berumur 7 tahun ke atas.  Mereka ini akan mendiami rumah ini sehingga mereka dapat berdikari.   Ini bermaksud yang pihak pertubuhan akan menanggung anak-anak ini sehingga mereka tamat zaman persekolahan sehingga ke menara gading.  Anak anak ini makan, minum, tidur dan menjalankan aktiviti di dalam kawasan rumah ini.  Mereka akan dihantar dan diambil apabila ke sekolah.  Aktiviti seperti mengaji Al Quran dan Kelas Fardhu Ain dijalankan di dalam asrama.

Bagi rumah yang di bawah kelolaan saya, sekurang kurang terdapat 4 orang pekerja tetap.  Daripada Pengurus, warden,  pemandu serta tukang masak. Dengan adanya kakitangan yang cekap dan cukup, barulah kebajikan anak-anak ini dapat dijaga dengan baik.

Marilah kita sama-sama mengorak langkah dan membuka minda dalam mengenali anak-anak yatim ini.  Cara yang paling baik mengenali mereka ini adalah dengan cara meluangkan sedikit masa duduk bersama mereka.

Itulah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama. Harapan saya agar semua rakyat Malaysia dapat memberi sedikit kasih sayang kepada anak-anak yatim di sekeliling kita.

Wabillahhitaufik. Wassalam.

Johari Basri

———————————–

Johari Hj Basri
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera
Kuala Lumpur

Download mp3